MySejahtera perkenal ciri baharu ‘MySJ Trace’ kesan kontak rapat

Masa Membaca:53 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Dis – MySejahtera kini dilengkapi dengan ciri baharu iaitu ‘MySJ Trace’ untuk membolehkan pengesanan kontak rapat yang turut menggunakan ciri baharu yang sama.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter hari ini berkata ‘MySJ Trace’ yang menggunakan sistem Bluetooth akan memberi maklumat secara langsung bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ciri baharu berkenaan.

“Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah tidak didedahkan,” katanya.

Beliau berkata menerusi ciri baharu itu, masyarakat digalakkan menggunakannya apabila ke tempat awam yang tertutup selain memaklumkan bahawa ciri mendaftar keluar yang terdapat dalam MySejahtera tidak lagi digunakan.

Khairy berkata ciri baharu berkenaaan juga telah dihantar serentak kepada Google, Apple dan Huawei untuk dikemas kini.

“Sudah boleh dikemas kini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update (kemas kini) baharu ini,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak COVID-19 di negara ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post Kerajaan longgarkan kaedah perolehan tangani impak banjir – MOF
Next post Gabungan enam syarikat telco sumbang RM25 juta bantu mangsa banjir – Annuar
Ubah saiz-+=