NAFAS, LPP import ayam

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), membenarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan beberapa koperasi di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengimport bekalan ayam ke negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kelulusan khas kepada pertubuhan terbabit, sebagai memenuhi keperluan pengguna tempatan serta mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu, ketika ini.

“Sekarang ini tiada lagi AP (Approved Permit) jadi siapa-siapa boleh mengimport asalkan ada import permit.

“Kerana apabila memasuki ke pelabuhan, ada MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) yang akan memastikan bekalan import itu halal dan dibenarkan atau dilesenkan.

“Kebenaran ini bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam supaya negara tidak akan berdepan isu bekalan ayam lagi terutama pada musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternal dan Nelayan peringkat Negeri Melaka di MITC, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya beberapa negara pengeluar ayam sudah dikenal pasti memenuhi kriteria ditetapkan termasuk China, Brazil, Belanda dan Thailand.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan telah mengumumkan kebenaran 32 syarikat yang dilantik MAFI untuk mengimport ayam sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor ayam sebulan bagi menangani kekurangan bekalan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1383
Kongsi :
Previous post Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dua minggu lagi – Annuar
Next post Polis tahan lelaki disyaki curi barang kemas
Ubah saiz-+=