Naik taraf parit atasi banjir kilat Kampung Tujuh

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KOTA LAKSAMANA 14 Jan – Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan sekitar Kampung Tujuh di sini, dijangka dapat menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan tersebut setiap tahun.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Roger Tan Wei Jian berkata, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan melalui penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Pengairan dan Saliran, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan SwCorp.

Katanya, agensi kerajaan yang terlibat telah maklum berhubung pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf tersebut dan aktiviti pembersihan sedang giat dijalankan sejak bulan lalu.

“Banjir kilat kerap melanda Kampung Tujuh selepas hujan berlaku selama dua jam terutama di kawasan penempatan penduduk di situ.

“Setelah melakukan tinjauan dan pemerhatian di sekitar taman dan penempatan Kampung Tujuh baru-baru ini, kita dapati banjir kilat yang berlaku berpunca daripada masalah saliran parit di situ yang tidak memuaskan,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) sewaktu meninjau sistem perparitan di sekitar Kampung Tujuh bersama agensi kerajaan berkaitan berhubung masalah banjir kilat di kawasan tersebut.

WEI Jian (dua dari kanan) mendengar penerangan oleh salah seorang wakil penduduk Kampung Tujuh ketika meninjau sistem saliran longkang dan parit di kampung itu berhubung masalah banjir kilat.

Menurutnya, hasil lawatan itu, kerja-kerja pembersihan saliran perparitan di kawasan itu akan digerakkan secara menyeluruh dan dijalankan lebih kerap ketika cuaca hujan atau musim banjir.

Ujar beliau, banjir kilat yang sering melanda kawsan itu disebabkan masalah parit dan longkang yang tersumbat selain strukturnya yang telah rosak sekali gus menyebabkan air hujan tidak dapat disalirkan dengan berkesan.

“Kerja pembersihan longkang dan parit di situ akan dibuat secara lebih kerap terutama ketika cuaca hujan lebat atau pada musim banjir,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan memastikan masalah banjir kilat di kawasan penempatan Kampung Tujuh dapat diatasi segera memandangkan ia telah berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu.

Pada masa yan sama, beliau turut meminta kerjasama penduduk Kampung Tujuh terutama peniaga di situ supaya menjaya kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sisa sampah ke dalam parit atau longkang selain tidak meletakkan objek ke dalam longkang bagi mengelak ianya tersumbat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post KDN kaji dapatkan aset baharu untuk PDRM
Next post KPT salur bantuan hampir RM4 juta kepada mangsa banjir
Ubah saiz-+=