Nekad bangkit berniaga dengan dana SME Corp

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Dis. – Seorang usahawan muda yang mengalami kemusnahan kedai makan akibat kebakaran bersyukur dan menarik nafas lega selepas menerima dana RM50,000 Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

Aslina Ismail, 35, amat berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi membantunya membina semula perniagaan yang pada sangkaannya sudah musnah bersama-sama kedai yang hangus.

Katanya, selain mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah, dia turut berterima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin yang membantunya mendapatkan dana berkenaan.

Katanya, dana itu akan digunakannya untuk membina semula kedai makan yang musnah dalam kejadian pada jam 9 pagi, 14 Mei lalu lalu.

Jelasnya, dana tersebut menghidupkan semula semangatnya untuk kembali berniaga makanan dan minuman yang sudah sebati dengannya sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, jika pemilik tanah tapak kedai itu tidak membenarkannya, dia bercadang membina gerai buah-buahan secara atas talian dan di perkarangan kediamannya di Kampung Solok Dekat, Pengkalan Balak.

“Selepas kedai itu musnah, saya mulakan perniagaan buah-buahan premium yang diimport dan saya mendapatkan bekalan daripada pemborong di Selayang, Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di tapak kedainya di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, keseluruhan kedai berkenaan musnah, namun tiada sebarang kehilangan nyawa dan kecederaan dilaporkan.

Ketika kejadian Aslina berada di pasar untuk mendapatkan bekalan bahan mentah untuk dimasak bagi memenuhi kiriman pelanggan secara atas talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Aslina menjelaskan, walaupun harga buah premium seperti anggur, strawberi, ceri Argentina, delima Mesir dan seumpamanya agak tinggi berbanding buah-buahan tempatan, permintaan tetap ada kerana pelanggan ingin mencuba merasai keenakannya.

“Agak sukar untuk mereka mendapatkan buah premium dan setakat ini saya peniaga tunggal buah itu di Alor Gajah dan Masjid Tanah dan kebanyakan pelanggan mengucapkan terima kasih kerana berpeluang menikmati buah segar yang diimport,” katanya.

Views:

656
Kongsi :
Previous post Warga Telok Mas sahut cabaran turunkan berat badan
Next post Nur Aimi Nadiah masih koma, belum tahu kematian tiga anak
Ubah saiz-+=