Nur Aimi Nadiah masih koma, belum tahu kematian tiga anak

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 17 Dis. – Wanita yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak semalam, belum diberitahu ketiga-tiga anaknya telah meninggal dunia dalam nahas itu petang semalam.

Abang mangsa Muhd Jazli Aiman Abdul Rahim, 31, berkata, dia dan dan ahli keluarganya sehingga kini belum berpeluang melihat keadaan adiknya itu, adiknya, Nur Aimi Nadiah, 27, sebaliknya sekadar mendapat maklumat daripada doktor yang merawat.

“Saya pun belum berkesempatan melihat adik kerana tidak dibenarkan berbuat demikian dan tidak tahu keadaannya macam mana.

“Kami dimaklumkan doktor, adik saya stabil cuma belum sedarkan diri,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian ketika ditemui menguruskan jenazah tiga anak saudaranya
Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, di Jabatan Forensik HRPB Ipoh, Perak hari ini.

 

Muhd Jazli berkata ketika nahas, adiknya itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di sana.

Menurutnya, Nur Aimi Nadiah bersama ketiga-tiga anaknya tinggal berasingan dengan suami.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahim Sidek, 58, berkata, jenazah ketiga-tiga cucu lelakinya itu dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Sungai Putat, Melaka, hari ini.

“Sejak pagi tadi, pihak hospital melakukan ujian COVID-19 dan proses bedah siasat.

“Saya dimaklumkan bedah siasat dijangka selesai jam 5 petang dan selepas itu jenazah akan terus dibawa ke rumah datuknya (bapa menantu Abdul Rahim) di Taman Seri Jati, Batu Berendam.

“Jika jenazah sampai terlalu lewat, mungkin jenazah akan dikebumikan pagi esok tapi mengikut perancangan awal akan dikebumikan hari ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Dalam nahas jam 3 petang semalam, Nur Aimi Nadiah, cedera parah manakala tiga anak lelakinya maut di lokasi.

Kejadian berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas sebelum melanggar belakang treler yang berada di laluan kecemasan.

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Nekad bangkit berniaga dengan dana SME Corp
Next post BMT ringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah
Ubah saiz-+=