Sorting by

×

Nelayan bimbang monsun Selatan burukkan keadaan Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 9 Jun – Kira-kira 70 nelayan di sepanjang 2.5 kilometer di Pantai Puteri di sini, merayu kerajaan termasuk Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mempercepatkan pembinaan projek pemecah ombak.

Mereka mendakwa masalah yang berlarutan sejak 2018 hingga kini tiada kesudahan dan bagaikan tidak menemui jalan penyelesaian untuk membantu nelayan yang bergantung pendapatan sepenuhnya dengan keluar menangkap ikan.

Nelayan Md Azli Hassan, 51, berkata, sekiranya keadaan hakisan hakisan pantai berterusan serta tiada tindakan dilakukan tidak mustahil keadaan akan lebih teruk apabila berlaku pertukaran Monsun Barat Daya kerana ombak kuat dan besar.

Katanya, disebabkan itu nelayan terpaksa berdepan pelbagai masalah dan kerugian apabila peralatan menangkap ikan termasuk pukat rosak.

“Tidak dinafikan sebelum ini ada tindakan yang sudah diambil mengatasi masalah ini tetapi ia bersifat sementara sahaja.

“Kecewa memang kecewa, sebab sejak 2018 masalah ini belum selesai sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Nelayan Pantai Puteri Rosli Ahmad berkata, pihaknya difahamkan terdapat peruntukan sebanyak RM30 juta diberikan untuk menangani hal ini termasuk dengan pembinaan rumah bot.

“Difahamkan ia akan dimulakan hujung tahun tetapi bulan hadapan sudah masuk peralihan monsun selatan, biasanya tahun sebelumnya memang mengganas.

“Untuk benda ini tidak berulang lagi jadi saya memohon jasa baik pihak atasan meluluskan serta mempercepatkan pembinaan ‘break water’,” katanya.

Menurutnya, apabila hakisan terus berlaku pokok akan tumbang malah apabila ombak besar ia akan membawa ranting sehingga tersangkut pada pukat sekaligus nelayan tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1131
Kongsi :
Previous post Bakal haji DUN Pengkalan Batu diraikan
Next post Raja Permaisuri berkenan melawat taska
Ubah saiz-+=