Nelayan Melaka ceria sambut Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Nelayan berdaftar di negeri ini dapat menyambut Aidiladha dengan gembira selepas menerima insentif berjumlah RM500 daripada Kerajaan Negeri.

Bantuan itu merupakan Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2023 Negeri Melaka bagi membela nasib dan kebajikan nelayan.

Bagi siri pertama, insentif itu diberikan kepada 316 nelayan di daerah Alor Gajah dan telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bertempat di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, hari ini.

Ab Rauf berkata, insentif tersebut akan diagihkan kepada keseluruhan 1,155 nelayan berdaftar di negeri ini membabitkan 316 nelayan di daerah Alor Gajah, 533 di Melaka Tengah dan 306 nelayan di daerah Jasin.

“Alhamdulillah, diharapkan pemberian sumbangan ini dapat membantu nelayan meneruskan kehidupan terutama menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

photo_2023-06-12_12-14-56
Sebahagian nelayan yang hadir sempena Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tanjung Bidara. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalannya Low Chee Leong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Timbalan Pengarah Perikanan Melaka Nawar Abd Karim.

Mengikut data Jabatan Perikanan, jumlah pendaratan ikan Negeri Melaka pada tahun 2022 adalah sebanyak 1,997.39 metrik tan dengan nilai berjumlah RM48.55 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

897
Kongsi :
Previous post Jangan tuduh nelayan Melaka ceroboh
Next post Melaka tuan rumah forum ATCC dan mesyuarat khas ATCCT
Ubah saiz-+=