Nelayan terkesan projek KLIP bakal terima saguhati – EXCO

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SERKAM 21 April – Nelayan di kawasan Melaka Barat yang terkesan dengan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) akan menerima saguhati dalam masa terdekat.

EXCO Pertanian Negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman saguhati itu dijangka akan diselesaikan pada tahun ini yang mana kerajaan negeri sedang dalam perbincangan mencari kaedah terbaik untuk menyampaikan saguhati berkenaan.

Mengenai isu pampasan yang didakwa sekumpulan nelayan, beliau menjelaskan, terdapat salah faham berhubung isu itu yang mungkin berpunca daripada kesilapan penerangan oleh pihak syarikat kepada nelayan.

Katanya, pampasan hanya akan diberi sekiranya sesuatu projek itu menutup sepenuhnya sumber pencarian nelayan di kawasan itu.

“Bila sebut pampasan kebiasaanya akan diberi apabila sesuatu projek itu menutup terus aktiviti menangkap ikan oleh nelayan. Tetapi ia tidak berlaku yang mana, nelayan di kawasan ini masih boleh keluar mencari rezeki. Jadi, pihak syarikat perlu jelaskan lebih lanjut mengenai maksud tersebut.

“Di pihak kerajaan negeri memang kita akan beri saguhati, cumanya kaedah terbaik pembayaran itu kita sedang bincangkan.

“Lagipun bila bercakap soal bantuan, semua nelayan memang kita sentiasa ambil berat. Bukan sahaja di Kuala Linggi, bahkan di seluruh Melaka menerusi pemberian pelbagai insentif termasuklah bantuan RM1,000 secara one-off yang telah diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka hujung tahun lalu.

“Jadi, sebenarnya tidak perlu timbul isu berhubung pampasan atau saguhati kerana yang pasti kerajaan akan sentiasa tampil menghulur bantuan dalam pelbagai bentuk kepada nelayan di negeri ini,” katanya.

ABDUL Razak (dua dari kanan) menyampaikan bayaran kedua Insentif Sara Hidup secara One-Off kepada Nelayan negeri Melaka di Dewan Kompleks Japerun Serkam, Jasin. Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Atan (kanan) dan Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Mohd Fauzi Salehon (tiga dari kanan). Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup Secara ‘One-off’ kepada 303 nelayan Daerah Jasin (Bayaran Kedua) bertempat di Dewan Kompleks JAPERUN Serkam, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan dan Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.

Abdul Razak berkata, insentif RM1,000 yang dibayar sebanyak empat kali itu diberikan kepada 1,176 nelayan berdaftar di negeri ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.18 juta.

Katanya, bayaran pertama bagi insentif tersebut telah dibuat pada 25 Jan lalu dan bayaran kedua pada bulan ini, manakala dua lagi pembayaran dijangka akan dibayar pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Beliau berharap bayaran tersebut dapat menceriakan nelayan khususnya dalam membantu persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1393
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali berbuka puasa bersama warga UTeM
Next post Melaka peruntuk RM450,000 baik pulih, bina rumah percuma sepanjang 2021 – Sulaiman
Ubah saiz-+=