Nenek 76 tahun tekad jaga cucu selepas anak meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 17 Jun – Meskipun usianya sudah mencecah 76 tahun namun Jawi Boyak nekad untuk terus menjaga dan membesarkan empat cucunya selepas kematian ibu mereka akibat kegagalan buah pinggang, kelmarin.

Menurut Jawi, selagi terdaya dan mempunyai kudrat dia akan mengambil alih tugas untuk membesarkan kesemua enam beradik berusia empat hingga 17 tahun itu.

Katanya, ketika arwah anaknya Norhafizah Mohd Yahya, 38, masih ada mereka bersama-sama membesarkan empat beradik itu walaupun keadaan kesihatan anaknya itu tidak mengizinkan.

Ujarnya, sebelum menghembuskan nafas pada Rabu di Hospital Melaka, arwah anaknya sudah tiga tahun menderita akibat komplikasi buah pinggang selain bapa kepada anak-anak itu masih berada dalam tahanan reman.

“Setiap malam sebelum tidur doa saya agar terus diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur supaya dapat menjaga serta membesarkan anak-anak ini.

“Selagi mampu saya akan pastikan pembelajaran mereka terjamin dan dapat bersekolah seperti biasa. Alhamdulillah mereka tidak pernah merungut walaupun hanya dibekalkan belanja sekolah RM2 sehari,” katanya.

Jawi dan empat beradik itu ditemui selepas menerima kunjungan EXCO Hal Ehwal Wanita Datuk Kalsom Noordin, di rumahnya di Taman Rambai Utama, di sini.

Menurut Jawi, ketika hayat anaknya masih ada, ada individu yang menyuarakan hasrat untuk mengambil cucunya sebagai anak angkat namun dia tidak mengizinkannya kerana tidak sanggup untuk berpisah.

“Biarlah susah bagaimanapun saya tetap besar dan jaga mereka ini serta pastikan mereka dapat bersekolah seperti biasa.

“Bukan perkara senang untuk serahkan mereka pada orang lain, sebagai nenek saya lebih faham perangai dan ragam mereka ini,” katanya.

Katanya, faktor kesihatan dua cucunya berusia empat serta 10 tahun yang mempunyai masalah kesihatan komplikasi jantung antara sebab mengapa dirinya bertegas untuk menjaga mereka.

“Alhamdulillah, cucu yang bongsu kini sudah tidak perlu mendapatkan rawatan tetapi cuma abangnya yang masih dibawa ke hospital dan Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan susulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post SUKIPT 2022 pada Ogos di UPSI
Next post Melaka Education Expo 2022 peluang gapai cita-cita
Ubah saiz-+=