Melaka Education Expo 2022 peluang gapai cita-cita
AYER KEROH 17 Mei – “Alhamdulillah dengan adanya Melaka Education Expo 2022 ini ianya memberi peluang kepada saya untuk menggapai cita-cita menjadi seorang doktor atau jurutera di dalam bidang yang dipilih nanti”.
Itu kata Afiq Arsyad Junaidi, 18, seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkunjung ke ekspo yang diadakan di Hotel Ames bermula hari ini, hingga Ahad.
Katanya, dia hadir ke ekspo berkenaan bagi memilih institusi pengajian tinggi (IPT) diminati bagi melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya datang sini ada interview bersama Aero Malaysia Engineering Centre (AMEC) bagi bidang jurutera, kebetulan dah memang ada di sini saya pun ambil peluang untuk lihat ‘booth’ yang lain.
“Setakat ini saya sudah singgah di gerai MAHSA University dan Smart College kerana kedua-dua ini berkaitan dengan minat saya untuk menjadi doktor.
“Diharap dengan adanya ekspo ini ia dapat memudahkan pelajar lepasan SPM untuk memilih bidang yang diminati, kerana mereka boleh berbincang secara bersemuka,” katanya ketika ditemui MHI di ekspo berkenaan.
Seorang lagi pengunjung, Hasnani Maisarah Hilmi,18, yang juga mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang doktor bersyukur ekspo yang diadakan itu memberi lebih banyak pilihan kepadanya untuk memilih IPT diminati.
“Saya datang sini nak lihat bidang apa yang sesuai dengan saya, saya nak lihat dahulu balik kemudian balik rumah berbincang dengan keluarga yang mana diminati.
“Setakat ini saya tertarik dengan fakulti sains dan kesihatan yang ditawarkan di sini kerana memang cita-cita saya ingin menjadi doktor atau usahawan wanita.
“Harap ada rezeki di sini sebab keputusan SPM saya pun sesuai dengan bidang yang saya mahukan ini, saya lebih suka jika IPT tersebut di luar Melaka supaya memberi lebih cabaran kepada saya berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Akmal Jannah Kamal, 18, turut memuji penganjuran ekspo berkenaan yang dianggap sangat membantu lepas SPM sepertinya.
Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersedia sekiranya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana IPT yang sesuai dengan kerjaya pilihannya.
“Bila dengar ada ekspo ini saya terus ajak kawan datang nak lihat sendiri apa yang ditawarkan dan apa yang menarik, dari segi stamina dan persediaan saya memang dah bersedia.
“Tadi dah lihat beberapa gerai pameran, saya tertarik untuk menyertai bidang pengurusan bank atau pemasaran, harap ada lah rezeki di sini,” katanya.
Ekspo berkenaan membawa lebih 30 kolej dan universiti ternama, tempatan serta luar negara yang berlangsung selama tiga bermula 17 hingga 19 Jun di Hotel Ames bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.