Polis siasat dakwaan cubaan culik kanak-kanak pulang mengaji

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Jun – Polis menyiasat dakwaan culik seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Kampung Krubong, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 45 tahun yang mendakwa anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik ketika pulang dari mengaji kira-kira jam 6 petang.

Katanya, ketika kejadian dua anak perempuan serta anak saudaranya berjalan kaki pulang ke rumah sebelum ketiga-tiganya didatangi seorang lelaki memakai jubah putih dan berkopiah.

“Lelaki tidak dikenali itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona bewarna perak dan suspek didakwa menarik tangan anak kedua pengadu yang berusia enam tahun masuk ke dalam kereta.

“Akibat kejadian itu, lakak mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak bertindak merentap baju suspek dan menyebabkannya terus beredar,”katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, susulan kejadian itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan pergi ke rumah saudara mereka untuk menyelamatkan diri.

Jelasnya, hasil semakan terhadap nombor plat kenderaan yang didakwa dicam orang awam mendapati ia adalah palsu dan tidak sama dengan kenderaan digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati, dua jenis nombor pendaftaran kenderaan yang dicam saksi mendapati ia berdaftar atas kenderaan jenis Nissan Cefiro berwarna biru dan motosikal jenis Honda.

“Saksi juga mengesahkan Proton Persona berwarna silver yang dinaiki suspek bercat hitam di bahagian pintu pemandu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Melaka Education Expo 2022 peluang gapai cita-cita
Next post Pembatalan tayangan ‘Lightyear’ keputusan pengedar filem – LPF
Ubah saiz-+=