Nestlé Malaysia cari pendekatan lindungi pekerja, bekalan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PETALING JAYA 24 Ogos – Nestlé (M) Bhd berhasrat memastikan misinya tercapai untuk melindungi pekerja, menjamin bekalan yang lebih stabil dan memberi sokongan kepada masyarakat ketika pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols berkata ia merupakan cabaran yang dihadapi semasa beroperasi ketika pandemik itu.

“Ketika dilanda krisis seperti COVID-19, kami perlu memastikan kaedah pengendalian yang jelas misalnya melindungi pekerja — khususnya petugas barisan hadapan yang bekerja di kilang, pengedaran dan jualan, memastikan bekalan barang perkilangan yang lebih stabil ke seluruh negara dan menyokong masyarakat menerusi sebarang kaedah yang mampu kami lakukan.

“Ketiga-tiga misi ini menyebabkan kami amat sibuk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memenuhi harapan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Nestlé Malaysia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

MoU itu melibatkan pelancaran program kitar semula secara perintis kepada dua perbandaran Petaling Jaya iaitu Bandar Sri Damansara dan Ara Damansara.

Nestlé Malaysia melancarkan program pengumpulan barangan kitar semula di PPR Lembah Subang 1 di Taman Putra Damai baru-baru ini dengan kerjasama penyedia penyelesaian kitar semula dan pengasingan sisa, iCycle Malaysia.

“Kerjasama kami dengan MBPJ dan program PPR yang dilancarkan baru-baru ini akan memanfaatkan lebih 13,000 isi rumah dan kami berhasrat memperluaskannya kepada lebih ramai masyarakat pada masa akan datang,” kata Aranols.

Semasa majlis pemeteraian itu, Nestlé Malaysia turut memperkenalkan pembungkusan baharu yang menyediakan maklumat kitar semula kepada pengguna untuk mengasingkan pembungkusan produk Nestlé bagi memudahkan langkah kitar semula.

— BERNAMA

Views:

1249
Kongsi :
Previous post Jenazah ibu Abdul Ghafaar selamat dikebumikan
Next post MUSA guna logo baharu selepas diluluskan
Ubah saiz-+=