Nilai projek PPRT, infrastruktur kampung akan dinaikkan – Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 7 Jun – Nilai peruntukan bagi projek infrastruktur dan perumahan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan dinaikkan dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hal itu berikutan terdapat rungutan daripada kontraktor berhubung kos yang kian meningkat susulan kenaikan harga bahan mentah membabitkan projek pembinaan.

Katanya, antara projek yang terkesan dengan kenaikan itu ialah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan projek menaik taraf jalan perhubungan desa.

“Memang sangat terkesan kerana bahan binaan semakin mahal iaitu meningkat sehingga 15 peratus akibat COVID-19 dan selepas COVID-19 yang mana berlaku kekurangan pekerja dalam sektor pembinaan sehingga berlaku kenaikan harga.

“Seperti contoh PPRT kita peruntukan RM56,000 untuk sebuah rumah, tetapi sekarang ramai kontraktor yang beritahu sudah tidak boleh buat dengan harga itu.

“Jadi, kita tengah tunggu pelaporan penuh dan insya-Allah kerajaan akan naikkan sedikit (peruntukan projek) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus pemantapan pengurusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah (SMART PKD) 2022 (Semenanjung) di Kem Permata Resort Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua projek yang telah diluluskan dan diberi tender sepanjang tahun ini tidak akan ditangguhkan dan akan diteruskan seperti biasa.

“Projek yang sudah berjalan kita akan teruskan seperti biasa, tetapi untuk projek baharu kedepan nanti insya-Allah (akan ada harga baharu),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1163
Kongsi :
Previous post PM Ismail Sabri terima kunjungan hormat pemimpin Huazong
Next post Kaji keperluan naik taraf Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagai pihak berkuasa – Khairy
Ubah saiz-+=