‘No Right Turn’ akan dinilai dari pelbagai sudut – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER LIMAU 1 Julai – Penangguhan pelaksanaan projek rintis ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dibuat bagi menilai semula pelbagai sudut khususnya kesannya kepada aliran trafik di kawasan berhampiran.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, untuk itu, satu perbincangan bersepadu melibatkan pelbagai agensi akan dibuat bagi melihat keperluan pelaksanaan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, sebelum ini, persimpangan itu dipilih sebagai projek percubaan bagi membantu penguraian trafik khususnya di waktu puncak pada awal pagi.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan di Stadium Hang Jebat dikhuatiri menyebabkan persimpangan di jejambat Cheng yang dilalui lebih 700 kenderaan setiap pagi bertambah sesak.

“Kita perlu melihat semula kaedah terbaik bagaimana 700 kenderaan ini akan dihalakan untuk keluar dari simpang itu sebab bila kita selesaikan masalah kesesakan di persimpangan Stadium Hang Jebat ia dikhuatiri menyebabkan kesesakan di Persimpangan Cheng.

“Kita sedang menilai dari pelbagai sudut kerana kita dapati terdapat juga persimpangan lain di Lebuh SPA juga menyebabkan kesesakan.

“Jadi penilaian semula akan dibuat kerana kita tidak mahu tumpu pada kawasan persimpangan Stadium Hang Jebat sahaja, sebaliknya persimpangan lain juga perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Korban Perdana DUN Ayer Limau 2023 di Kompleks Japerun Ayer Limau, di sini, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka memaklumkan penutupan persimpangan itu dijadual dilaksanakan pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

Malah, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut meminta kajian lengkap dilakukan sebelum sebarang penutupan simpang dibuat bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Kursus pendek dua bulan bantu lepasan SPM
Next post Melaka anjur Kenduri Muhibah, rai semangat perpaduan
Ubah saiz-+=