‘No right turn’ AMJ Kandang dilaksanakan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 25 Oktober – Pelaksanaan ‘No Right Turn’ di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Persimpangan Kandang, di sini sejak tiga hari lalu membantu menyuraikan kesesakan trafik di sepanjang laluan berkenaan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun belum menerima rungutan daripada pengguna jalan raya berhubung pelaksanaan inisiatif itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka akan tetap melaksanakan kajian lalu lintas.

Jelasnya JKR akan melaksanakan kajian dalam tempoh dua minggu bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar dan berkesan dalam mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

“Inisiatif No Right Turn kini berada pada fasa kedua di Melaka selepas pelaksanaan di Persimpangan Stadium Hang Jebat sebelum ini.

“Alhamdulillah, kita menerima maklum balas yang positif daripada pengguna jalan raya yang menyokong pelaksanaan ini. Namun kajian tetap dilaksanakan supaya mampu menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul sepanjang inisiatif ini dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed berkata, pelaksanaan No Right Turn diyakini mampu melancarkan kesesakan yang berlaku di laluan utama di negeeri ini dan akan diperluaskan ke beberapa lokasi sasaran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, pelaksanaan bagi fasa ketiga akan membabitkan Persimpangan Kompleks Melaka Mall, Jalan Tun Abdul Razak.

“Kita sasarkan pelaksanaan pada fasa ketiga iaitu di persimpangan berdekatan Kompleks Melaka Mall dilaksanakan pada minggu hadapan.

“Kerajaan Negeri berharap agar pengguna jalan raya bersedia dengan pelaksanaan yang diperkenalkan ini, mereka dinasihatkan supaya merancang laluan perjalanan terutama pada waktu puncak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4253
Kongsi :
Previous post Pensyarah politeknik, kolej komuniti perlu jalani latihan industri
Next post Raih pendapatan lumayan hasil jual telur itik
Ubah saiz-+=