Pensyarah politeknik, kolej komuniti perlu jalani latihan industri
AYER KEROH 24 Oktober – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mewajibkan semua tenaga pengajar di bawah kendaliannya menjalani latihan industri selama tiga bulan.
Pelaksanaan arahan itu dilihat mampu mengasah lagi kemahiran selain memberikan pendedahan kepada tenaga pengajar mengenai perkembangan semasa industri yang amat penting dalam usaha memperkasakan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, perkara itu juga bakal membabitkan pensyarah yang sudah lama berkhidmat di institusi politeknik serta kolej komuniti.
“Buat masa ini jumlah tenaga pengajar kita mencukupi iaitu lebih 10,000 orang dan ini mengikut keperluan atau standard KPT. Kita sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dan kepakaran pensyarah dengan menghantar mereka untuk melanjutkan pengajian, selain menjalani latihan semula kemahiran mengikut keperluan semasa industri.
“Contoh sekarang keperluan lebih terarah kepada bidang pendigitalan, jadi semua pensyarah sudah lama perlu dilatih semula. Tetapi bagi pensyarah yang baharu tidak ada masalah berkenaan dengan kemahiran dan kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud; Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK, Ts Abdul Razak Sabtu serta Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Norizam Sekak.
Katanya, inisiatif itu diyakini mampu memberikan pengalaman dan meningkatkan pengetahuan kepada pensyarah yang kemudian dikongsikan bersama pelajar di dewan kuliah.
“Pensyarah-pensyarah ini juga ada mengikuti kursus dianjurkan bahagian latihan jabatan politeknik, ini untuk memantapkan lagi kaedah pengajaran masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.