Raih pendapatan lumayan hasil jual telur itik

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

ASAHAN 25 Oktober – Bermula dengan menternak lima ekor itik telur di belakang rumah ibunya kira-kira empat tahun lalu, kini jumlah ternakan Mohd Shafie Md Isa, 41, berganda kepada 2,800 ekor dan memberi pulangan pendapatan yang lumayan buat dirinya.

Jualan hasil telur yang tinggi mendorong Mohd Shafie sebelum ini bertugas sebagai penyelia dia sebuah syarikat swasta berhenti kerja dan memberi sepenuh tumpuan sepenuh masa terhadap ternakan itik telur spesis ‘khaki campbell’.

Mohd Shafie berkata, daripada 2,000 ekor itik yang sudah boleh bertelur, ternakan itu mampu menghasilkan antara 1,500 hingga 1,800 biji telur sehari.

Katanya, mengutip ribuan telur itik setiap hari bukan setakat menceriakan harinya malah membakar semangatnya untuk terus maju dalam bidang penternakan.

Photo1698132481
MOHD Shafie menunjukkan proses menyiapkan produk telur itik masin yang diusahakannya ketika ditemui di Kampung Baru Bukit Sedanan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bapa kepada tiga anak ini berkata, berkat doa dan tunjuk ajar daripada ibunya Rokiah Yaacob, 76, ternakan itiknya menjadi semakin berkembang.

Dia yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, penjualan telur asin dihasilkan turut memberangsangkan dan setakat ini turut dipasarkan di pasaraya milik pelakon dan pengarah terkenal tanah air.

“Menggunakan ilmu dan tunjuk ajar daripada ibu, kami mula menternak, kemudian memproses telur itik menjadi telur asin pada 2019. Reban pertama di rumah ibu, kemudian dipindahkan ke belakang rumah saya dan sekarang sudah ada empat reban semuanya.

“Sudah pasti setiap kejayaan akan ada cabaran, pada awal pembabitan dan kemudianya apabila negara dilanda COVID-19 hasil telur tidak dapat dipasarkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun urusan bagaikan dipermudahkan apabila saya kemudian mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Malah boleh katakan ada masanya permintaan diterima agak tinggi sehingga saya terpaksa mendapatkan sumber telur daripada rakan penternak lain,” katanya ketika ditemui di ladang itik miliknya di Kampung Baru Bukit Sedanan, Selandar, di sini.

Photo1698132776
PROSES menghasilkan produk telur asin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Penerima anugerah Peladang Jaya Harapan 2023 pada Jun lalu ini berkata, selain tertumpu di Melaka, pasaran telur itik mentah dan asin yang dihasilkan kini turut dipasarkan ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kami juga terima tempahan daripada pengusaha restoran dan orang perseorangan. Malah kami juga kini turut ke pasar tani atau menyertai program jualan dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka dalam memperkenalkan lagi produk keluaran Shaeza Global Enterprise.

“Berbanding telur mentah, telur asin mendapat permintaan tinggi terutamanya dalam kalangan pengusaha restoran asam pedas di Melaka. Telur asin kami hasilkan dikatakan bukan sahaja mempunyai rasa yang berbeza tetapi memudahkan proses penyediaan disebabkan telur kami yang bersih serta berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2879
Kongsi :
Previous post ‘No right turn’ AMJ Kandang dilaksanakan – Exco
Next post 36 tahun saksi perkembangan TVET negara
Ubah saiz-+=