Nur Zahirah tetap bersendirian teruskan pengajian

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat
Nur Zahirah merupakan pelajar tunggal Tahun Satu di SK Sungai Jerneh.

ALOR GAJAH 23 Julai – Nur Zahirah Aisyah Mohd Zuhaili, 7, tidak pernah merasai pengalaman mengikuti pembelajaran bersama rakan sekelas sejak memulakan sesi persekolahan Januari lalu.

Ketika murid sekolah lain dikurangkan bilangan dalam kelas berikutan penjarakan sosial, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sungai Jerneh (SKSJ), Lubok Cina dekat sini itu terpaksa meneruskan pengajian seorang diri, memandangkan dia merupakan pelajar Tahun Satu tunggal di sekolah berkenaan.

Ketika ditemui menyalin nota disediakan guru, Mariana Abdul Rahman dalam kelas berkenaan hari ini, anak sulung daripada dua beradik itu jelas gembira memulakan semula sesi persekolahan selepas empat bulan tidak dapat hadir ke sekolah.

“Saya suka datang sekolah sebab ada ramai kawan dan saya dapat bermain dengan mereka,” katanya sambil tugasnya menyalin nota diperhatikan Guru Besar, Mohammed Mohd Som.

Dia berkata, sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dia hanya bermain dengan adiknya yang berusia enam tahun di kediaman mereka di Kampung Bukit Sendok, di sini.

Katanya, ketika melangkah masuk ke kawasan sekolah hari ini, dia amat teruja kerana dapat menyambung semula pembelajaran walaupun tanpa rakan taulan dalam bilik darjah.

Ketiadaan sahabat handai dalam kelas tidak menjadi masalah bagi Nur Zahirah kerana baginya, guru bukan setakat penyampai ilmu, malah rakan yang boleh diajak berbual dan bergurau senda.

Sementara itu, Mohammed berkata, selain Nur Zahirah, turut menjadi murid tunggal ialah murid tahun lima yang digabungkan kelas dengan dua murid tahun empat.

“Tiga murid tahun enam tidak boleh digabungkan dengan murid lain kerana mereka dalam kelas peperiksaan manakala murid lain ialah tujuh orang tahun dua dan dua orang tahun tiga yang digabungkan.

“Ada 10 guru termasuk saya yang mengajar dalam empat bilik darjah tetapi untuk tahun hadapan, saya meletakkan sasaran mendapatkan 25 murid untuk menjadikan sasaran 31 murid pada tahun 2022 dicapai,” katanya.

Beliau berkata, jika sasaran 31 murid itu mampu dicapai, sekolah berkenaan akan mempunyai enam kelas dengan pertambahan guru yang munasabah.

Sekolah Kebangsaan Sungai Jerneh hanya mempunyai 16 murid secara keseluruhan dari Tahun Satu hingga Enam

Views:

409
Kongsi :
Previous post Atlet SUKMA Johor 2020 sudah mulakan latihan
Next post Dana tambahan atlet SUKMA Melaka dipertimbang
Ubah saiz-+=