Op Benteng : 14 PATI bertempiaran lari elak dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI 14 Julai – Terkejut dengan kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, 14 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia bertindak terjun ke dalam laut dan ada yang berlari ke arah pantai.

Bagaimanapun, cubaan meloloskan diri itu gagal apabila kesemuanya ditahan Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF), membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pegawai Perisikan Tentera dan Tim Ops Merpati 1 Bridged di Kuala Sungai Baru, dekat sini pada jam 11.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan rondaan rutin Op Benteng di sekitar kawasan tanggungjawab sebelum menerima maklumat mengenai cubaan seludup masuk pendatang asing ke perairan negara melalui jalan tidak diwartawakan.

Katanya, hasil risikan mendapati pihaknya mengesan sebuah bot fiber kelabu tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Bot berkenaan dikesan kira-kira 1.0 batu nautika dari Pantai Bagan Lalang, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, semua suspek bertindak terjun ke dalam laut dan berlari ke arah pantai, manakala bot yang membawa mereka memecut ke tengah laut.

“Seramai 14 PATI warga Indonesia iaitu sembilan lelaki dan wanita berusia 24 hingga 49 berjaya ditahan oleh anggota PGA yang berada di persisir pantai.

“Semua ditahan dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mengulas lanjut, semua yang ditahan menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pengawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket penyeludupan keluar PATI didalangi, warga tempatan dan asing yang sudah lama menetap di negara ini,” katanya.

Views:

326
Kongsi :
Previous post JKN Melaka kenal pasti kontak rapat kluster PUI Novgorod
Next post Rogol remaja perempuan, empat rakan ke penjara
Ubah saiz-+=