Operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri tamat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 11 Mei – Pengoperasian Bazar Ramadan dan Aidilfitri hanya dibenarkan sehingga hari ini sahaja selepas Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dikuatkuasakan di seluruh negara bermula tengah malam ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka Mohd Nasrul Menhat berkata, biarpun kebanyakan operasi bazar terbabit dijadual tamat esok, peniaga perlu akur dengan perintah terbabit bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, segala prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap kegiatan ekonomi khususnya perniagaan adalah mengikut ketetapan diumumkan kerajaan pusat.

“Aktiviti perniagaan memang dibenarkan, bagaimanapun tiada keperluan untuk makan di kedai dan hanya dibenarkan untuk membungkus saja.

“Bagi penganjuran bazar Aidilfitri dan Ramadan kerajaan memutuskan ia ditamatkan hari ini dan demi mengelakkan kebanjiran pengunjung, peniaga mahupun penganjur perlu memperketatkan SOP yang sedia ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, pihaknya menjangkakan sambutan pengunjung bagi bazar Aidilfitri malam ini akan meningkat disebabkan hari terakhir beroperasi sebelum PKP dimulakan bagi menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, berhubung perkara terbabit pihaknya sudah memaklumkan pihat berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan pemantauan berganda malam ini bagi memperketatkan SOP sedia ada.

“MKN mengarahkan orang ramai tidak melakukan aktiviti rentas daerah bagi berkunjung ke bazar Aidilfitri disebabkan setiap daerah sudah menyediakan penganjuran itu di negeri ini.

“Pihak polis akan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadpa mana-mana individu yang melanggar kesalahan rentas daerah termasuk pelanggaran SOP semasa berada di tempat umum,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, setakat ini bagi setiap SOP yang perlu dititikberatkan sepanjang tempoh PKP 3.0 adalah perlu mengikut ketetapan seperti sedia ada yang telah diumumkan.

Katanya, sebarang perincian dan penambahbaikan SOP sedang dibincangkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Setakat ini perlu ikut keputusan persekutuan dan akan ada sebarang perincian terhadap SOP ini.

“MKN sedang berbincang dan menumpukan perincian SOP berkaitan aktiviti sosial masyarakat dan kesukanan dahulu,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanakan PKP 3.0 di seluruh negara bermula esok sehingga 7 Jun depan susulan trend peningkatan pandemik COVID-19.

Peningkatan itu dikhuatiri menjadikan Malaysia berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional rentetan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021.

Mohd Nasrul Menhat

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

334
Kongsi :
Previous post Siapa conteng panel iklan Sungai Melaka?
Next post 30 peratus peniaga cari peluang saat akhir
Ubah saiz-+=