Sorting by

×

Operasi pawagam dibuka Khamis ini untuk individu lengkap vaksinasi

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 7 Sept – Operasi pawagam dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan wayang untuk penonton lengkap vaksin COVID-19 adalah antara kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif bermula Khamis ini.

Sehubungan itu semua pengiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Satu PPN.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan hasil perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada Khamis lalu itu diharap dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat industri kreatif, artis dan pekerja.

Katanya, persetujuan untuk memberi kelonggaran tersebut adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang lengkap vaksinasi serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terhadap negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara aktiviti dibenarkan ialah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.

Selain itu, katanya, penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin, indoor busking, persembahan di lounge hotel dan aktiviti panggung wayang dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan pawagam.

“Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan penonton lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.

“Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis,” katanya.

Perdana Menteri berkata keputusan tersebut adalah antara usaha-usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

Sementara itu beliau menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor tersebut sentiasa mematuhi syarat dan prosedur ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir bulan depan.

“Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, industri kreatif menyumbang dua peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama terajui lesen perniagaan digital
Next post Institut latihan memandu dibenar beroperasi Khamis ini – Wee
Ubah saiz-+=