Operasi pelancongan dicadang dilanjutkan ke tengah malam

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Operasi Pusat Pelancongan di negeri ini dicadang akan dibuka hingga ke tengah malam susulan jangkaan kadar kedatangan berganda pelancong ke Melaka menjelang bulan kemerdekaan negara tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat sehingga 15,000 buat sesebuah lokasi pelancongan utama yang sebelum ini hanya mencatat jumlah 6,000 hingga 7,000 kemasukan pelancong pada hujung minggu.

Jelasnya, kebanjiran pelancong akan meningkat menjelang 10 hingga 15 hari sebelum Hari Kebangsaan disebabkan destinasi pelancongan Melaka yang strategik.

“Kebanyakan pelancong memilih Melaka disebabkan ia merupakan destinasi percutian bersesuaian buat keluarga, malah Melaka juga dikenali sebagai pusat pelancongan makanan di negara ini.

“Jadi ini merupakan peluang kepada Melaka dalam meraih lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini lebih-lebih lagi selepas pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seperti contoh sebelum ini, kadar pelancongan di sekitar Sungai Melaka merekodkan sekitar 12,000 orang namun disebabkan pandemik Covid-19, kita mencecah 7,000 hingga 8,000 pelancong pada hujung minggu dan ia akan berganda menjelang musim kemerdekaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, menurutnya, pelbagai strategi dan persediaan telah dilaksanakan bagi ‘menyambut’ kehadiran pelancong yang bakal membanjiri Melaka.

“Kita akan melaksanakan pelbagai strategi termasuk setiap kakitangan pusat pelancongan akan bekerja keras kali ini dengan kemasukan berganda nanti.

“Pelbagai persediaan telah diambil termasuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan pelancong sentiasa selamat apabila berada di Melaka,” katanya.

Views:

262
Kongsi :
Previous post Srikandi lancar kempen derma buku
Next post UTeM laksana pilihanraya Kampus kaedah ‘Mobile Undi’
Ubah saiz-+=