Srikandi lancar kempen derma buku

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 18 Ogos – Srikandi Bahagian Masjid Tanah mengalu-alukan sumbangan buku daripada orang ramai bagi menjayakan Kempen Derma Buku Srikandi yang berlangsung sejak kelmarin hingga 31 Ogos ini.

Buku baru dan terpakai menjadi sasaran untuk dikumpulkan bagi membantu meningkatkan ilmu anggota komuniti di daerah ini.

Ketuanya Zafaizah Ablah berkata, program derma buku yang dilancarkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan anggota masyarakat, terutama murid dan pelajar.

Katanya, Srikandi bahagian tidak menetapkan sebarang sasaran jumlah buku yang mampu dikumpulkan sepanjang kempen dari semalam hingga 31 Ogos ini, sebaliknya bersedia menerima segala buku yang baik kandungannya dan fizikalnya.

“Tujuan kita adalah untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan anggota komuniti dan membentuk masyarakat rajin membaca.

“Apa sahaja jenis ilmu yang ada dalam buku boleh disumbangkan kepada kami dengan menghantarnya ke pejabat Srikandi di bangunan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Taman Bandar Baru, di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen berkenaan sempena Persidangan Srikandi Bahagian Masjid Tanah di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini semalam.

Buku berkenaan akan diedarkan kepada masjid, surau dan stesen bas serta teksi yang menyediakan sudut bacaan masing-masing dan jika sambutan menggalakkan, ia akan diedarkan ke beberapa sekolah kebangsaan sekitar Masjid Tanah, katanya.

Katanya, walaupun kempen berkenaan mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, ia penting bagi membantu pembangunan ilmu dalam kalangan anggota komuniti di sekitar pekan Masjid Tanah.

“Walaupun tarikh pengumpulan adalah dari 16 hingga 31 Ogos ini, kami tetap bersedia menerima sumbangan buku selepas tarikh berkenaan kerana proses menuntut ilmu tidak akan berhenti hanya pada tarikh tertentu,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,200 ahli Srikandi di 10 cawangan bersedia menjalankan tugas membantu mengutip buku bagi mereka yang tidak mempunyai kelapangan untuk hadir di pejabat berkenaan.

Katanya, sumbangan seumpama itu adalah sebahagian daripada saham akhirat anggota komuniti yang bermurah hati kerana setiap kali ada pihak yang membaca buku berkenaan, mereka yang mendermakannya diberikan ganjaran pahala.

Beliau berkata, dengan ilmu berkenaan, anggota komuniti mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara kerana pembentukan negara maju tidak akan berjaya tanpa anggota komuniti yang cinta akan ilmu.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Monorel Melaka: “Naik taraf, tutup atau ganti” – Exco
Next post Operasi pelancongan dicadang dilanjutkan ke tengah malam
Ubah saiz-+=