Operasi Samseng Jalanan: 167 penunggang motosikal ke balai

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 4 Okt. – Bukan sahaja berani terbabit dalam lumba haram, malah mereka juga bertindak menutup laluan utama daripada dilalui pengguna jalan raya yang lain, itu ditindakan dilakukan sekumpulan penunggang motosikal sebelum diberkas dalam Operasi Samseng Jalanan, awal pagi tadi.

Dalam operasi yang dijalankan kira- kira jam 2.30 pagi, di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Kandang itu, seramai 167 penunggang motosikal ditahan selepas didapati terbabit dalam lumba haram dan menjadi penonton.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, operasi bermula kira- kira jam 11.30 malam sebelum laluan yang digunakan menjadi lokasi lumba haram ditutup pada jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, operasi yang membabitkan JSPT negeri dan Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu hasil risikan dilakukan pihaknya selama tiga minggu.

“Mereka yang terbabit dalam lumba haram dikatakan akan menutup jalan dari persimpangan lampu isyarat antara 300 hingga 400 meter bagi membolehkan mereka melakukan aksi seperti ‘donut’ dan beberapa aksi lain.

“Sekiranya ada pengguna jalan raya yang ingin menggunakan jalan itu perlu menunggu dan laluan ini dikatakan lokasi baharu selepas Klebang sebelum ini digempur pihaknya,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Menurut beliau, daripada 167 yang ditahan seramai 75 adalah pelajar sekolah termasuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Daripada jumlah itu tujuh penunggang akan direman mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan seorang dibawah Seksyen 108 akta sama kerana menggunakan nombor plat palsu.

“Manakala semakan turut mendapati seramai 14 penunggang yang ditahan itu mempunyai lebih daripada dua waran selain 64 buah motosikal disita,” katanya.

Hasan Basri berkata, ketika operasi juga terdapat kira- kira 100 motosikal tersadai di sawah ketika cuba melarikan diri kerana menyangkakan ianya laluan tikus.

“Susulan itu terdapat 10 buah motosikal ditinggalkan disawah dan dibawa balik ke IPD untuk tindakan lanjut.

“Penunggang yang tiada lesen memandu hanya akan dibebaskan sebaik ibu bapa atau penjaga mereka datang dan saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa,” katanya.

Ujar beliau, selain tiada lesen memandu, pelbagai kesalahan trafik dikesan antaranya ubah
suai, tiada cermin sisi dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

“Seorang pekerja kilang dikenakan sebanyak 18 saman atas pelbagai kesalahan dan dia mendakwa hanya datang ke lokasi untuk menyaksikan perlumbaan.

“Selain itu kesemua 167 yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post Nelayan minta jalan penyelesaian ‘win-win’ antara syarikat kapal besar dan nelayan
Next post Pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 sedia diaktifkan semula
Ubah saiz-+=