Padah berhibur langgar SOP PKPP

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Dis. – Padah berhibur dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seramai 135 individu dikompaun pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di sini malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua mereka berusia 24 hingga 45 tahun diperiksa pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah dalam serbuan jam 11.40 malam itu.

“Pemeriksaan mendapati, seramai 86 lelaki dan 49 wanita termasuk penjaga premis gagal mematuhi SOP PKPP .

“Kesemua 134 pengunjung dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) PPPPPB 2020.

“Turut dikompaun adalah penjaga premis berusia 38 tahun kerana ingkar arahan PKPP Peraturan 10 PPPPPB (No.8) 2020,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut Abdul Majid turut menasihati orang ramai agar mematuhi SOP PKPP berdasarkan perkembangan dan situasi semasa COVID-19 yang semakin meningkat.

“Polis sentiasa melakukan pemantauan bersepadu bersama agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Views:

288
Kongsi :
Previous post Pasukan media Ustaz Ebit Lew kemalangan
Next post ‘Khemah terbang’ di kubur: Pemilik video mohon maaf
Ubah saiz-+=