Sorting by

×

PADAH CUBA PROVOKASI PENGUATKUASA MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Julai – Seramai 23 individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian merusuh dan cuba mencetuskan provokasi terhadap penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam kejadian berhampiran Bangunan Stadthuys, jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat perasaan tidak puas hati individu berkenaan yang juga kumpulan bermotosikal dari Kuala Lumpur selepas dikenakan kompaun oleh penguatkuasa MBMB selepas didakwa memasuki kawasan zon bebas kenderaan.

Katanya, akibat tidak berpuas hati ada beberapa individu dalam kumpulan berkenaan didakwa mengoyak kertas kompaun dikeluarkan selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada penguatkuasa MBMB.

” Siasatan dilakukan mendapati kejadian berpunca daripada provokasi dilakukan oleh sekumpulan lelaki dan wanita terhadap anggota penguatkuasa MBMB yang menjalankan tugas. Dalam kejadian sama seorang lelaki dari kumpulan motosikal lain yang cuba membantu penguatkuasa MBMB dipercayai telah dipukul menggunakan topi keledar oleh kumpulan yang cuba membuat provokasi.

“Mangsa mengalami kecederaan kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Selepas siasatan dan keterangan diambil 22 ahli kumpulan motosikal berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang didakwa mencetuskan provokasi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Namun seorang lagi berusia 30-an yang bertindak memukul menggunakan topi keledar direman selama tiga hari bermula hari ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka Tahun 2025, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2688
Kongsi :
Previous post MPJ KOMITED TANGANI ISU HAIWAN TERBIAR SECARA HOLISTIK