PADU bukan jual madu beracun

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 8 November – Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional (BN) untuk Malaysia yang tercinta (PADU) disifatkan mampu menjadi ‘game-changer’ berikutan beberapa tawaran yang dijanjikan bersifat praktikal dan realistik.

PADU mampu ditunaikan sekiranya parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, BN tidak akan menawarkan janji umpama bulan dan bintang seperti yang didambakan sesetengah pihak namun beliau yakin gabungan itu mampu memastikan janji itu mampu ditunaikan sekiranya memenangi PRU15 kali ini.

Beliau yang juga merupakan Calon BN Parlimen Alor Gajah berkata, pihaknya yakin setiap tawaran yang diberikan telah mencapai satu keputusan yang difikir panjang sebelum ditawarkan kepada rakyat.

“Kita nampak ia mampu menjadi ‘game-changer’ sebab ada beberapa tawaran yang dijanjikan praktikal dan realistik dan ia telah difikir panjang sebelum diletakkan dalam dokumen.

“Semua orang akan cakap setiap manifesto adalah meliputi semua, tapi yang penting adalah apa perincian dalam manifesto itu, adakah benda itu realistik, praktikal dan orang boleh faham? Jadi semua kriteria itu saya nampak ada dalam PADU…kita memang buat manifesto PADU bukan jual madu yang beracun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Taman Seri Pelangi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata parti itu juga telah mengangkat perjuangannya sebelum ini diletakkan di dalam manifesto parti bagi membantu rakyat di bawah garis kemiskinan.

“Dalam manifesto itu kita ada tawarkan Skim Bantuan Asas Automatik dimana saya lihat ini perkara yang amat baik dan ini yang saya perjuangkan beberapa tahun dulu, Alhamdulillah ia masuk dalam manifesto parti saya sendiri.

“Dalam tawaran ini siapa dibawah isi rumah garis kemisikinan akan diberikan ‘top up’ automatik bulanan… ini langkah yang lebih baik untuk memberikan ‘certainty’ atau kepastian kepada mereka yang wajar menerima,” katanya.

Selain itu, ujarnya, sistem pendidikan awal percuma dan pengajian tinggi percuma untuk golongan B40 yang ditawarkan BN menunjukkan parti itu merupakan parti yang memandang ke hadapan bagi melestarikan sistem pendidikan yang lebih cemerlang dalam negara ini.

“Jika kita adakan pusat asuhan percuma untuk semua akses ini juga akan membantu wanita-wanita kembali ke alam pekerjaan, jadi ini ada kesan rantaiannya kepada rakyat.

“Satu lagi perkara yang menunjukkan BN ini memandang masa ke depan adalah pendidikan pengajian tinggi percuma untuk B40 sekali gus melayakkan mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti, kita tak boleh janjikan untuk semua, itu mungkin sedikit populis tapi parti kita ini fokuskan kepada siapa yang perlu, kita sasarkan bantuan,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan PADU yang terkandung dengan 99 Amal dan Usaha sebagai tawaran baharu kepada rakyat jika parti itu mampu diberi mandat dalam PRU15.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4926
Kongsi :
Previous post Perjuang nasib penunggang p-hailing
Next post Terima kasih bantu kami – ‘Abang rider’
Ubah saiz-+=