Paip pecah: Elak guna laluan Lebuh Ayer Keroh arah MITC

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Pengguna jalan raya di Lebuh Ayer Keroh, arah ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dinasihati menggunakan laluan alternatif berikutan masalah paip pecah yang membawa kepada kerosakan jalan di laluan berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh, Abdul Mutalib Kharis yang ditemui sebentar tadi berkata, masalah tersebut bermula sejak jam 11 pagi ini dan telah menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan berhampiran Stesyen Minyak Petronas Lebuh Ayer Keroh.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas pihak berwajib berjaya mengurangkan kesesakan berkenaan dan kini pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menjalankan kerja-kerja membaik pulih paip dan jalan berkenaan.

“Ini merupakan kali kedua masalah paip pecah berlaku di kawasan ini yang mana ia berpunca daripada paip yang sudah lama tidak diganti.

“Kejadian terbaru ini menyebabkan berlakunya kerosakan jalan sebesar hampir 50 meter dan pihak SAMB telah pun memulakan kerja-kerja membaiki jalan berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabat Japerun Ayer Keroh, sebentar tadi.

Mengulas lanjut kejadian tersebut, Abdul Mutalib berkata, kerja-kerja membaik pulih jalan berkenaan mungkin memakan masa yang agak lama bagi memastikan jalan berkenaan selamat untuk dilalui orang ramai.

“Kita mahu pastikan kerja baik pulih dan penurapan jalan dilakukan lebih teliti agar hasilnya lebih berkualiti dan selamat untuk digunakan semua pengguna yang melalui jalan ini,” katanya.

Views:

2195
Kongsi :
Previous post Melaka benarkan solat Jumaat hari ini, terhad 40 jemaah
Next post Usah terpengaruh provokasi pembangkang – Idris
Ubah saiz-+=