Pameran sejarah selama sebulan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 24 Disember – Peminat-peminat sejarah berpeluang menikmati pameran dan pelbagai program menarik selama sebulan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Zaidi Attan berkata, program bertemakan ‘Pelancongan Sejarah – Back To History’ itu dijadual berlangsung sepanjang Februari tahun depan dengan sekurang-kurangnya lapan program akan dianjurkan pada setiap minggu.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri memaklumkan, ia bertujuan untuk orang ramai mengenali sejarah negara dan Negeri Melaka, selain memperkasa subsektor pelancongan pendidikan.

“Pameran ini bakal disertai bukan sahaja muzium-muzium di Malaysia, bahkan turut membabitkan muzium di nusantara seperti Jakarta, Sulawesi, Sumatera dan Pattani.

“Ia bakal menampilkan beberapa tema utama dan kemuncaknya ialah pengkisahan pengisytiharan kemerdekaan pada 20 Februari untuk kita kembalikan nostalgia kemerdekaan kepada orang ramai.

“Semua ini kita lakukan supaya orang ramai dan pelancong dalam serta luar negara mengenali sejarah negara, selain sejarah Negeri Melaka itu sendiri yang pernah menjadi empayar penting suatu masa dahulu.

“Selain pameran, turut diadakan program berkonsepkan kulinari yang bakal menampilkan masakan atau makanan warisan daripada pelbagai negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Tower Hunt Menara Taming Sari 2023 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Zaidi memaklumkan, Kerajaan Negeri telah menyusun pelbagai program berskala besar dan kecil sepanjang 365 hari TMM2024 dengan tema berbeza ditampilkan pada setiap bulan.

Semua itu, kata beliau, merupakan inisiatif dalam merealisasikan sasaran 18.7 juta pelancong termasuk sasaran 8.5 juta bermalam di Melaka sepanjang 2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1664
Kongsi :
Previous post Naik Menara Taming Sari percuma 20 Februari 2024
Next post 70 anak muda bakal jadi ‘jutawan baharu’ bersama Fazil Group
Ubah saiz-+=