Pampasan nelayan terjejas KLIP selesai September ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Nelayan yang terjejas dengan projek Kuala Linggi International Port (KLIP) menerima khabar gembira apabila isu pampasan mereka dijangka selesai September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, isu itu berjaya diselesaikan selepas Kerajaan Negeri mencari jalan terbaik untuk kebaikan semua pihak yang terlibat.

“Sebelum ini, saya telah mengarahkan Exco terlibat (Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan) mencari formula terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dan insya-Allah pada September ini kita dapat menyelesaikan isu KLIP dengan nelayan.

“Malah, formula yang dibuat itu turut merangkumi tabung nelayan yang akan diwujudkan yang mana ia akan digunakan khusus untuk kemudahan nelayan seperti pembaikan dan naik taraf jeti serta balai nelayan,” katanya.

photo_2023-06-12_12-00-16
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bergambar bersama nelayan sempena Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tanjung Bidara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalannya Low Chee Leong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Timbalan Pengarah Perikanan Melaka Nawar Abd Karim.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, bayaran pampasan tersebut bukan sahaja melibatkan nelayan dan awak-awak Melaka, bahkan turut membabitkan nelayan sempadan Negeri Sembilan yang terjejas dengan projek berkenaan.

“Bagaimanapun, sudah tentulah nelayan Melaka akan menerima lebih memandangkan faktor keterjejasan itu lebih kepada Melaka berbanding Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pembayaran pampasan itu juga akan dilakukan secara berfasa iaitu melalui tiga fasa yang ditetapkan dan akan diperincikan kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1963
Kongsi :
Previous post Tertekan pedal minyak, kereta rempuh stesen minyak
Next post Jangan tuduh nelayan Melaka ceroboh
Ubah saiz-+=