Pantai Kundor, ‘kampung siaga’ bencana

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PANTAI KUNDOR 19 Oktober – Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor kini boleh dikatakan sudah bersedia menghadapi bencana yang boleh berlaku tanpa dijangka.

Ia selepas kawasan berkenaan dipilih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka sebagai komuniti sasaran bagi inisiatif Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hasim berkata, pemilihan DUN berkenaan disifatkan sebagai langkah tepat dalam mempersiapkan rakyat yang tinggal di kawasan pesisir pantai itu menghadapi apa jua bencana yang tidak dijangka.

Jelasnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran komuniti mengenai risiko ketika bencana, bahkan ia juga dapat membantu masyarakat memberi respon awal berkaitan sebarang kejadian bencana tanpa perlu menunggu agensi keselamatan.

“Kesejahteraan dan keselamatan rakyat terutamanya melibatkan aspek pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional menjadi agenda utama yang sentiasa diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

“Namun, ia tidak dapat direalisasikan tanpa penglibatan dan peranan rakyat itu sendiri dalam menjayakan apa yang telah dirangka dan dirancang untuk dilaksanakan.

“Justeru, saya berpandangan usaha APM ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan generasi kini atau rakyat perlu mempunyai ilmu dan pengalaman kesiapsiagaan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kampung Siaga 221 : Komuniti Berdaya Tahan Bencana bagi tahun 2023 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Kompleks Japerun Pantai Kundor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut berharap inisiatif berkenaan dapat mempertingkat semangat kesukarelawanan di kalangan generasi muda di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan APM meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 14 Kampung Siaga 221 akan ditubuhkan di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, tujuan penubuhan Kampung Siaga 221 adalah usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan awal penduduk menghadapi sebarang bencana.

Jelas beliau, penubuhan itu merujuk kepada Akta Pertahanan Awam 221 yang merangkumi 21 fungsi APM selain berfungsi dalam masa aman, masa peperangan dan mangsa bencana dengan mengambil apa-apa jua langkah bagi menyelamat, melindungi dan mengurangkan kehilangan nyawa serta kerosakan ke atas harta benda penduduk awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post E-sukan: Piala TYT Championship 2023 tawar hadiah RM10,000
Next post Lapan program masyarakat India berskala besar warnai TMM2024
Ubah saiz-+=