Sorting by

×

Pantai Puteri perlukan tukun tiruan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PANTAI KUNDOR 28 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan bercadang untuk mengusulkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) agar melabuhkan unjam atau tukun-tukun tiruan di kawasan Pantai Puteri bagi merancakkan kembali sektor perikanan di kawasan tersebut.

Katanya, dengan adanya tukun-tukun tiruan di kawasan itu, ia bukan sahaja membantu meningkatkan hasil nelayan pesisir pantai, bahkan ia juga akan membuatkan kaki pancing dari dalam dan luar Melaka untuk menjadikan pantai berkenaan sebagai lokasi pilihan untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga.

“Sebelum ini, kita tahu tukun-tukun tiruan kerap dilabuh di Pulau Besar dan kawasan sekitar, jadi bagi saya apa salahnya jika Pantai Puteri juga menjadi pilihan untuk dilabuhkan tukun tiruan?

“Dengan adanya tukun ini, anak-anak ikan dan juga ikan-ikan besar boleh rapat ke pantai, sekali gus ia akan menarik lebih ramai kehadiran kaki pancing dan pada masa sama membuatkan pantai ini menjadi pilihan untuk diadakan pertandingan memancing.

“Secara tidak langsung, dengan meriahnya aktiviti di pantai ini, ia akan membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan pertandingan memancing di pantai berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Norazman berkenaan, pihaknya juga akan berusaha untuk mengkomersilkan semula pengusaha bot-bot memancing di kawasan pantai berkenaan bagi menarik minat kaki pancing yang ingin memancing di tengah laut.

“Sebelum ini memang ada (pengusaha bot memancing), tetapi ia tidak dikomersialkan betul-betul. Jadi, bila adanya tukun-tukun baharu dilabuh, saya berharap lebih ramai akan mengusahakan sektor ini dan nelayan-nelayan sedia juga boleh mendapat sumber pendapatan sampingan melalui sewaan bot untuk memancing.

“Dengan cara ini, kita dapat menjadikan Pantai Puteri sebagai sebuah lokasi ‘angling tourism’ yang berpotensi di Melaka dan mampu merancakkan sektor pelancongan sedia ada di negeri ini,” katanya.

Views:

534
Kongsi :
Previous post Thailand belum buka pintu untuk pelancong asing
Next post Replika Jalur Gemilang unik guna 2,240 keping kad putih terpakai
Ubah saiz-+=