Pantai Siring tumpuan peminat sukan ekstrem

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERKAM 1 Mac – Dahulu Pantai Siring hanya dikenali sebagai tempat beriadah bersama keluarga pada hujung minggu, kini destinasi pelancongan itu menjadi ‘port’ sukan ekstrem bagi peminat yang gemarkan aktiviti mencabar diri.

Kemudahan dikendalikan Redtma Recreation Sport Centre, kini menjadi tumpuan ribuan pengunjung dari dalam dan luar Melaka untuk mencuba aktivti sukan lasak yang disediakan.

Pengurusnya, Muhammad Al Basri Mustaffa berkata, beroperasi sejak 2021 pihaknya kini menawarkan lima aktiviti utama sebagai tarikan kepada pengunjung.

“Antara aktiviti utama ini adalah berkayak, mendaki tembok tiruan (wall climbing), ‘flying fox’, memanah dan menaiki bot bersiar-siar di pesisiran Pantai Siring.

“Hari biasa kami mulakan operasi pada jam 9 pagi, tetapi hujung minggu seawal jam 8 pagi kerana pengunjung yang datang sangat ramai dan ada yang bermalam di resort berdekatan.

“Bagi aktiviti bot kita buat promosi hanya RM5 harga dikenakan bagi dewasa dan RM3 kanak-kanak bawah tujuh tahun,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Pantai Siring di sini, hari ini.

Katanya, selain itu terdapat beberapa pakej bagi aktiviti berkayak yang ditawarkan dengan harga RM59 dan RM98.

“Antara pakej ini adalah berkayak dari Pantai Siring ke Pulau Burung sejauh 1.2 kilometer yang mengambil masa selama 20 minit, manakala pakej kedua ialah berkayak dari Pantai Siring ke Pulau Burung dan Pulau Besar.

“Pakej kedua ini memerlukan perjalanan sejauh 4.5 kilometer dengan masa kira-kira satu jam, mereka yang ingin balik semula ke Pantai Siring boleh menaiki bot dengan bayaran hanya RM10,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post Lelaki warga emas direman bantu siasatan kes tembak anggota polis
Next post Penelitian semula skim Madani tidak hadkan akses penjagaan perubatan
Ubah saiz-+=