Pantang larang makan kerbau balar hanya mitos

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat
ABDUl Rahim memandikan lembu di kandang lembunya di Kampung Rantau Panjang. Foto Din Ahmad

TABOH NANING 24 Julai – Kerbau balar hakikatnya tidak mempunyai sebarang pantang larang yang menyebabkan kononnya sesiapa yang memakannya akan dijangkit penyakit

Jika ada pihak yang mendakwa kerbau balar hanya merugikan pemiliknya kerana tidak mendapat permintaan berbanding kerbau biasa, ternyata ia tidak benar kerana Abdul Rahim Sharif membuktikan sebaliknya.

Penternak lembu dan kerbau itu berjaya mendapatkan pembeli haiwan ternakan berkenaan menjelang ibadah korban dilaksanakan umat Islam pada 31 Julai ini, sekali gus menafikan dakwaan seumpama itu.

Abdul Rahim, 54, berkata kerbau berwarna putih kemerah-merahan itu dipeliharanya sejak dilahirkan kerbau biasa tiga tahun lalu dan ditempah minggu lalu untuk dikorbankan pada Aidiladha minggu depan.

“Ibu kerbau itu kerbau biasa tetapi bapanya kerbau balar yang sudah saya jual dua tahun lalu pada harga tidak kurang daripada RM5,000.

“Menjelang Aidiladha kali ini, kerbau balar yang saya namakan sebagai ‘Dol’ itu sudah ditempah pada harga RM5,500 kerana beratnya jika ditimbang bulat atau seekor lebih kurang 400 kilogram (kg) tetapi kalau sudah disembelih, beratnya tidak kurang daripada 200 kg,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Rantau Panjang, dekat sini semalam.

Beliau berkata, ada sesetengah pihak mendakwa, kerbau balar ada pantang larang yang menyebabkan dagingnya tidak boleh dimakan seperti daging kerbau biasa.

Bagaimanapun, pihak yang membeli dua kerbau balarnya sebelum ini tidak pernah membuat aduan daging haiwan berkenaan liat atau tidak sebaik kerbau biasa, sebaliknya mereka gembira menikmati dagingnya.

“Tidak pernah orang yang membelinya dan menyembelihnya datang semula ke kandang saya semata-mata untuk merungut mengatakan daging kerbau balar tidak elok,” katanya.

Abdul Rahim yang sudah 20 tahun menternak lembu dan kerbau berkata, pantang larang seumpama itu hanya wujud dari aspek psikologi sesetengah pihak yang tidak faham mengenai apa yang dimaksudkan sebagai kerbau balar.

Selain kerbau balar, penternak terbabit turut sudah menerima tempahan 21 ekor lembu dan tujuh ekor kerbau yang bakal diserahkan kepada pembeli dua atau tiga hari sebelum ibadah berkenaan dilaksanakan.

Katanya, ada antara pembeli mahu beliau menyerahkan kerbau yang belum disembelih dan ada juga yang mahukan beliau menyembelihnya sebelum menyerahkan daging dan tulang kepada mereka pada tiga hari tasyrik, iaitu pada 11 hingga 13 Zulhijjah atau 1 hingga 3 Ogos ini.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang meminta beliau menyembelih lembu atau kerbau sebelum menyerahkan daging dan tulang adalah pihak yang melakukan ibadah korban secara berasingan dengan pihak pentadbir masjid atau surau.

“Ada juga yang berkongsi adik-beradik tanpa membabitkan pengurusan masjid di tempat mereka yang meminta daging dan tulang untuk diagihkan kepada fakir miskin,” katanya.

Views:

6653
Kongsi :
Previous post Kerajaan tiada niat guna Akta FINAS sekat kebebasan individu di media sosial
Next post Parlimen: cadangan pinda elak lompat parti, isu audio curi tumpuan minggu kedua
Ubah saiz-+=