Kerajaan tiada niat guna Akta FINAS sekat kebebasan individu di media sosial

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PUTRAJAYA, 23 Julai – Kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata sebahagian daripada laporan mengenai jawapannya di Dewan Rakyat hari ini (23 Julai) berkaitan keperluan lesen FINAS untuk perfileman memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan beliau.

Katanya, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, beliau hanya menerangkan tentang undang-undang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada 1981, dan akta tersebut telah digunakan selama ini termasuk kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan mengenai isu lesen perfileman FINAS.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin memaklumkan bahawa semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem masing-masing sama ada di platform media sosial atau saluran tradisi.

Menurutnya, keperluan berbuat demikian tidak kira sama ada mereka dari agensi media arus perdana atau media individu (media personal).

Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil maklum bahawa akta tersebut perlu penambahbaikan.

“Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya,” katanya.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN (Perikatan Nasional) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta ini digubal,” katanya.

Saifuddin berkata KKMM terbuka untuk menerima sebarang cadangan bagi menambah baik bukan sahaja akta berkenaan malah semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.- BERNAMA

 

Views:

396
Kongsi :
Previous post Melaka Rumahku perlu berteraskan tiga perkara
Next post Pantang larang makan kerbau balar hanya mitos
Ubah saiz-+=