Paramedik Komuniti hidupkan klinik desa

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Kerajaan Negeri mencadangkan agar sukarelawan Paramedik Komuniti beroperasi dari kemudahan klinik desa yang ada sekitar Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, cadangan itu diharap mampu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan kecekapan sukarelawan Paramedik Komuniti dalam menangani sebarang bentuk kecemasan.

“Menerusi cadangan ini klinik desa juga akan dijadikan pusat bagi memberikan rawatan awal kepada pesakit sebelum dirujuk ke hospital bagi kes kecemasan yang lebih serius.

“Cadangan ini secara tidak langsung dapat menghidupkan klinik desa. Setakat ini seramai 130 sukarelawan Paramedik Komuniti telah diluluskan untuk membantu pesakit atau memberi bantuan kecemasan awal secara percuma sebelum ambulans sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 6th National Paramedic Emergency Update Melaka 2024 (IPREMIUM) ‘Heartbeats and Heroes: Empowering The Next Generation of Paramedics’ di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Turut hadir Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Fatahul Laham Mohamed; Ketua Perkhidmatan Kecemasan Negeri Melaka merangkap Penaung iPREMIUM 2024, Dr. Mohammad Fadhly Yahya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga dalam usaha untuk menambah bilangan sukarelawan Paramedik Komuniti.

“Ini adalah satu produk Kerajaan Negeri Melaka yang dapat membantu rakyat di setiap kampung dan desa di waktu kecemasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post Membudayakan amalan pemakanan sihat
Next post Melaka bakal miliki hospital wanita dan kanak-kanak
Ubah saiz-+=