Sorting by

×

Pasang lebih banyak tanda amaran di selekoh tajam – JKR

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LINGGI 18 Jun – Selekoh tajam di Jalan Teluk Gong-Pekan Kuala Sungai Baru, di sini akan dibina lebih banyak papan tanda amaran bagi membantu memelihara keselamatan pengguna jalan raya.

Antaranya, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina ‘speed breaker’ iaitu garisan kuning tebal di laluan sebelum tiba di selekoh berkenaan.

Lebih banyak papan tanda amaran juga akan dibina di laluan berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya, terutama yang membabitkan kematian.

Menjelaskannya, Jurutera Daerah Alor Gajah Ir Mohd Haidir Haron berkata, sudah ada papan tanda amaran dan ‘speed breaker’ dibina di laluan itu sekarang tetapi jumlahnya agak kurang.

“JKR akan membina kedua-dua aspek itu bagi membantu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya dan diharapkan dengan adanya pembinaan itu, kes kemalangan mampu dikurangkan.

“Kami meminta pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi papan tanda amaran dan papan penunjuk arah demi keselamatan masing-masing,” katanya ketika meninjau selekoh berkenaan bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Penghulu Kuala Linggi, Aszahari Razali, semalam.

Katanya, JKR juga meneliti cadangan Rosli supaya laluan berkenaan dilebarkan bagi membolehkan pemandu kereta dan penunggang motosikal mengambil selekoh dengan lebih selamat.

ROSLI (kanan) ketika meninjau selekoh berbahaya di Kuala Sungai Baru yang kerap berlaku kemalangan.

Sementara itu, Rosli berkata, selekoh berkenaan dikenali dalam kalangan penduduk sekitar sebagai ‘Selekoh Ayau’ dengan mengambil nama seorang penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di selekoh itu kira-kira 10 tahun lalu.

“Ayau terbabas dan kakinya terpaksa dipotong dan sejak itu, namanya melekat pada selekoh itu dalam kalangan penduduk sekitar Kuala Sungai Baru,” katanya.

Selain kemalangan berkenaan, katanya, pernah juga berlaku kemalangan membabitkan kereta dan motosikal yang terbabas akibat kegagalan pemandu dan penunggang mengesan keadaan selekoh tajam.

Beliau berkata, kebanyakan pengguna jalan raya dari luar kawasan berkenaan tidak berjaya mengesan keadaan selekoh berbahaya itu, sekali gus terbabas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui selekoh berkenaan demi keselamatan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2644
Kongsi :
Previous post Tiga sahabat dihukum penjara rogol pelajar 13 tahun
Next post UiTM Jasin selesaikan misi ceriakan SK Ayer Limau
Ubah saiz-+=