Pasar Besar MBMB cetus kluster baharu, 31 kes positif direkodkan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Kluster Jalan Tun Fatimah menjadi kluster terbaharu direkodkan di negeri ini membabitkan penularan di tempat kerja di daerah Melaka Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kes indeks kluster itu dikenalpasti selepas seorang peniaga di Pasar Besar Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB), Jalan Tun Fatimah, Bachang, disahkan positif.

Katanya, peniaga terbabit mendapat jangkitan daripada ahli keluarganya dan menyebabkan penularan wabak itu di pasar terbabit yang ditutup serta-merta selama tiga hari bermula Isnin lalu.

RAHMAD. Foto fail.

“Setakat hari ini seramai 465 kontak rapat telah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Daripada jumlah itu 430 individu adalah kontak kerja dan 35 daripadanya merupakan kontak keluarga.

“Hasil ujian saringan seramai 31 individu positif, 408 negatif dan 27 lagi masih menunggu keputusan ujian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rahmad, saringan kontak rapat masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan penutupan pasar itu dilanjutkan tujuh hari hingga 23 Jun ini berikutan berlakunya pertambahan kes.

“Premis terbabit ditutup bagi tujuan sanitasi menyeluruh termasuk pengesanan dan siasatan kes sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu Rahmad berkata, sebanyak 152 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini iaitu 150 jangkitan tempatan dan dua import, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 meningkat kepada 15,276 kes di Melaka.

“Berdasarkan rekod, terdapat 30 kluster aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu dari kluster Luar Melaka.

“Selain, terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 15 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam, empat kes Kluster Pengkalan Balak, 21 kes dari Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau dan satu kes dari Kluster Industri Bukit Nian,” katanya.

Selain itu, sebanyak tiga kematian dan 274 kes sembuh turut direkodkan hari ini, katanya.

BERITA BERKAITAN: COVID: 20 dikesan positif di pasar MBMB

Pasar Besar MBMB ditutup, 15 peniaga positif COVID-19

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post Agong zahir pandangan persidangan Parlimen perlu disegerakan
Next post Raja-Raja Melayu sokong Parlimen bersidang secepat mungkin
Ubah saiz-+=