COVID: 20 dikesan positif di pasar MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JASIN 15 Jun – Seramai 20 individu membabitkan peniaga dan kontak rapat dikesan positif COVID-19 di Pasar Besar Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB), Jalan Tun Fatimah, Bachang, setakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah memanggil seramai 101 peniaga dan ahli keluarga serta kontak rapat kes berkenaan, namun hanya 94 daripada mereka hadir menjalani saringan hari ini.

Katanya, penularan jangkitan itu membabitkan 12 kedai iaitu tujuh kedai menjual sayur, tiga kedai runcit dan masing-masing satu kedai makanan dan sayur kampung.

“Sebelum ini JKN mengesan 11 kes positif menerusi ujian PCR-RTK iaitu empat kes mempunyai kaitan rapat dengan kes positif iaitu ahli keluarga yang datang ke pasar itu.

“Selain itu, empat kes positif dikesan hasil saringan bergejala dan tiga lagi adalah kontak rapat sama ada ahli keluarga atau pembantu kedai masing-masing.

“Pada hari ini sembilan kes baharu dicatat menjadikan keseluruhan 20 individu positif COVID-19,” katanya.

RAHMAD menerima cenderahati daripada Hospital Jasin pada lawatannya ke hospital berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Jasin yang mendapat penarafan tertinggi (platinum) dalam pensijilan Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED) yang dikeluarkan oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat (USGBC).

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih menyiasat punca jangkitan dan menjalankan tindakan sewajarnya bagi mengekang wabak itu di kawasan pasar termasuk penutupan premis selama tiga hari sehingga esok.

“Seterusnya kita akan melakukan saringan ‘surveillance’ melibatkan semua blok pasar yang dijalankan secara berperingkat.

“Semua kes positif diisolasi dan kontak rapat juga diberi arahan kuarantin bagi memutuskan penularan pandemik itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post KPDNHEP pastikan PKPD Cameron Highlands beri impak minimum terhadap bekalan sayur
Next post PPV Yayasan Toh Puan Zurina buka 1 Julai
Ubah saiz-+=