Agong zahir pandangan persidangan Parlimen perlu disegerakan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

Kuala Lumpur 16 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan pandangan itu selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik,Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi Kerajaan.

“Al-Sultan Abdullah amat menyedari peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan
pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan
bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi adalah satu-satunya ‘exit strategy’ (strategi keluar) bagi mengawal penularan wabak berkenaan di negara ini.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat supaya matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai secepat mungkin.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu yang turut mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan supaya rakyat dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Al Sultan Abdullah berkenan menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini, bagi meneliti pandangan yang dikemukakan pemimpin parti politik ketika sesi menghadap bermula 9 Jun hingga semalam.

BERITA BERKAITAN: Raja-Raja Melayu berkenan hadir perbincangan khas di Istana Negara

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Kedudukan Cheng Hoe masih selamat
Next post Pasar Besar MBMB cetus kluster baharu, 31 kes positif direkodkan
Ubah saiz-+=