Kedudukan Cheng Hoe masih selamat

0
176
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe. Foto- FAM

KUALA LUMPUR 16 Jun – Ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe masih diberi mandat untuk terus membimbing skuad Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual tahun depan.

Pengurus skuad kebangsaan Datuk Yusoff Mahadi berpendapat prestasi Cheng Hoe tidaklah seburuk yang disangka kerana berjaya membawa Malaysia mengutip 12 mata keseluruhan selepas melengkapkan aksi dalam Kumpulan G pusingan kelayakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Satu perbincangan akan diadakan bersama sejurus Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) tiba dari Dubai, dan perbincangan itu tidak akan menyentuh mengenai (kedudukan) Cheng Hoe.

“Perbincangan itu akan lebih menjurus kepada persiapan pasukan negara untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Kontrak Cheng Hoe dijangka tamat pada Disember tahun depan selepas mengambil alih skuad kebangsaan pada Disember 2017.

Mengenai tawaran Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengurus skuad Harimau Malaya, Yusoff berkata individu yang sesuai untuk mengulas mengenai perkara berkenaan adalah Hamidin sendiri.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), menerusi beberapa hantaran pada ruangan Insta Story dalam laman Instagram bertitah baginda akan menyediakan kemudahan latihan dan jurulatih terbaik untuk pasukan.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan menduduki tempat ketiga selepas mengutip 12 mata. UAE mengungguli Kumpulan G dengan 18 mata, diikuti Vietnam (17) , Thailand (sembilan) dan Indonesia dengan satu mata.

Kejayaan menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir semalam, menyaksikan Malaysia secara automatik layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, sekali gus menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir kejuaraan benua itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.