Raja-Raja Melayu berkenan hadir perbincangan khas di Istana Negara

1
261
ISTANA Negara. Foto Wikipedia

KUALA LUMPUR 16 Jun – Raja-Raja Melayu hari ini berkenan menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Perbincangan khas itu bagi meneliti pandangan yang dikemukakan pemimpin-pemimpin parti politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak minggu lalu.

Berangkat ke istana ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun Sultan Kelantan Sultan Muhammad V tidak berangkat.

Beberapa pegawai tertinggi negara turut dilihat memasuki Istana Negara untuk memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara kepada Raja-Raja Melayu.

Yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti Bersatu; dan pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Tun Arifin Zakaria telah menghadap Al-Sultan Abdullah.

Pemimpin parti-parti politik lain telah menghadap Seri Paduka secara bersemuka dan maya di Istana Negara bermula Rabu lepas sehingga petang semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

1 COMMENT

Comments are closed.