Pasar Malam Jonker Walk bakal beroperasi setiap malam

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 12 Mei – Pasar Malam Jonker Walk yang sebelum ini hanya beroperasi pada hujung minggu dijangka akan beroperasi setiap hari bagi menarik lebih ramai pelancong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP).

“Kita dapati sudah sampai masanya kawasan konservasi di sini hidup semula pada waktu malam kerana kita dapati Jonker Walk dari Isnin hingga Khamis pada waktu malam senyap dan tiada aktiviti.

“Jawatankuasa kini sedang usaha serta dalam peringkat perbincangan dan harap akan mendapat berita baik,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Jalan Kubu.

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo (kanan) melawat premis dan beramah mesra dengan pekedai di Jonker Street.

Menurut beliau, cadangan untuk mengadakan setiap hari berbanding hanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, turut mendapat persetujuan dan sokongan daripada peniaga setempat.

Katanya, peniaga di sini yang sebelum ini hanya beroperasi pada waktu siang mengharapkan operasi pasar berkenaan dapat dilanjutkan tempoh sehingga ke malam.

“Apabila kebenaran itu diberikan nanti ia akan merancakkan lagi kedatangan pelancong. Malah sebelum ini pelancong yang datang ke Melaka pada hari biasa tidak berpeluang ke pasar malam Jonker Walk,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau berkata, sejak peralihan ke fasa endemik bulan lalu, kedatangan pelancong ke kawasan ikonik pelancongan itu amat memberangsangkan.

“Malah untuk minggu pertama Mei dan bersempena cuti umum serta hari raya seramai 500,000 pengunjung berkunjung ke Jonker Walk.

“Selain itu juga kini, hampir 95 peratus premis perniagaan di sekitar Jonker Walk kembali beroperasi dengan kira-kira 20 peratus daripada pengusaha luar Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2475
Kongsi :
Previous post Buli: Senarai nama diterima turut melibatkan doktor pakar
Next post Jururawat adalah guru pertama saya – Dr Muhamad Akmal
Ubah saiz-+=