Pasar sesak, pengunjung sanggup ‘bersidai’ lepas subuh beli ‘stok’ raya

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BACHANG 11 Mei. – Pasar Besar Melaka di Bachang sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan keperluan asas termasuk ‘stok’ bahan mentah untuk Aidilfitri yang dijangka disambut Khamis ini.

Difahamkan lebih 2,000 pengunjung direkodkan sehingga jam 11 pagi dan kebanyakannya sudah menunggu di hadapan pasar terbabit seawal jam 6 pagi.

ZAITON ketika ditemui di Pasar Besar Melaka, Bachang.

Zaiton Mohd, 69, berkata, menjadi kebiasaan menjelang Aidilfitri dia akan ke pasar untuk membeli bahan mentah seperti ayam dan daging selain kuih-muih untuk menjamu anak-anak yang beraya di rumah.

“Anak mak cik ajak teman pergi pasar hari ini. Dekat sejam menunggu dekat sini sejak 9 pagi tadi, tapi tak ada pilihan sebab di sini semua barangan yang diperlukan ada jual.

“Lagipun, esok dah mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)…jadi senang esok tak payah keluar rumah lagi. Mak cik pun tak ‘gemau’ nak kecoh-kecoh,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

ANTARA peniaga daging dan ayam di Pasar Besar Melaka, Bachang.

Sementara itu, Zamri Sidik, 38, sanggup berulang-alik ke pasar berkenaan sebanyak dua kali untuk menunggu keadaan kembali reda daripada orang ramai yang beratur kira-kira 200 meter di pekarangan pasar pagi tadi.

Bagaimanapun, dia menafikan keadaan itu berpunca daripada situasi pembelian panik memandangkan orang ramai sudah mendapat teladan daripada PKP lalu.

“Awal pagi tadi, saya beratur kira-kira 20 minit tapi bila tengok orang makin ramai, saya ke pasar raya terdekat dahulu. Tak perlu terkejar-kejar sangat sebab nak beli pun barang keperluan sahaja,” katanya.

Bagi Sharif Mat Dom, 68, biarpun orang ramai dilihat teruja membuat persiapan 1 Syawal, dia bersyukur pihak penganjur termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) tetap peka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar itu, selain prihatin memberi laluan khas kepada warga emas sepertinya.

“Alhamdulillah. Dapat laluan khas untuk warga emas. Memang niat nak datang hari ini beli keperluan orang rumah. Mereka (isteri) dah bekerja di dapur, kita suami tolonglah apa yang patut,” katanya.

Pelaksanaan PKP 3.0 berkuat kuasa esok seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kebaikan bersama di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

595
Kongsi :
Previous post 30 peratus peniaga cari peluang saat akhir
Next post 90 TASKA, TADIKA dan TABIKA di Melaka beroperasi seperti biasa
Ubah saiz-+=