Pastikan orang buta celik al-Quran, Zakaria tokoh warga istimewa Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

PAYA RUMPUT 7 Julai – Melakukan kajian dan inovasi penghasilan al-Quran dalam tulisan braille sejak 30 tahun lalu melayakkan seorang guru cacat penglihatan diangkat sebagai penerima Anugerah Abdullah Bin Ummi Maktum.

Anugerah Tokoh Warga Istimewa itu diberikan kepada Zakaria Yahya, 57, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Zakaria anak jati Kampung Gubah, Nyalas yang cacat penglihatan sejak lahir merupakan seorang guru pendidikan khas di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dan telah menjalankan kajian dalam pembikinan al-Quran untuk orang buta.

Niatnya hanya satu, iaitu memastikan golongan cacat penglihatan beragama Islam dapat membudayakan pembacaan kitab Allah SWT itu sama seperti insan normal yang lain.

Kini, Zakaria berusaha untuk memperluaskan ilmu pembacaan al-Quran braille di seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai insan istimewa tidak menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk mendekatkan diri dengan tuhan.

“Sebenarnya, saya telah berkecimpung dalam perkara ini sejak 30 tahun lalu di mana ia bermula dengan mengkomputerkan al-Quran tulisan braille ini supaya ia boleh dicetak agar ia menjimatkan kos untuk memilikinya.

“Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa universiti tempatan kita banyak terlibat dengan kajian dan inovasi ini terutama memastikan al-Quran braille menepati garis panduan seperti dalam penulisan al-Quran Resam Uthmani.

“Sebelum ini al-Quran braille yang dicetak seberat hampir 10kg namun selepas kajian dan inovasi kita berjaya menghasilkan al-Quran braille mini seberat 1.5kg yang memudahkan individu buta untuk membawanya ke mana-mana sahaja,”katanya.

Zakaria merupakan antara 15 tokoh penerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka yang diraikan dan telah menerima menerima sijil, wang tunai RM3,000 serta Pakej Kembara Imiah Banda Acheh, Indonesia bernilai RM3,000 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri; Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Anugerah Abu Bakar As-Sidiq iaitu Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka dianugerahkan kepada bekas Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam.

Prof. Dr. Mizan yang merupakan anak jati Padang Temu membawa pulang hadiah berupa RM10,000, Pakej Umrah bernilai RM10,000 berserta pingat, selempang anugerah dan sijil.

Sementara itu, Anugerah Fatimah Az-Zahra (Tokoh Ibu Inspirasi) diberikan kepada Sabariah Adon, diikuti Anugerah Uwais Al-Qarni (Tokoh Tunas Harapan) kepada Ahmad Abrar Azraie dan Anugerah Ibnu Uraiqith (Tokoh Non-Muslim) kepada Chong May Ling.

Shafie Ahmad pula menerima Anugerah Abdurrahman Bin Auf (Tokoh Usahawan Islam); Anugerah Salman Al-Farisi (Tokoh Aktivis Muslim), Caren Chung Yock Lan; Anugerah Bilal Bin Rabah (Tokoh Pegawai Syarak), Ishak Md Yusof dan Anugerah Imam As-Syafie (Tokoh Pentadbir Masjid), Ismail Othman.

Bagi Anugerah Ali Bin Abi Talib (Tokoh Belia Islam) ia diberikan kepada Dr. Mohd Nurishaq Mohd Fauzi; Anugerah Mu’adz Bin Jabal (Tokoh Penggerak Masyarakat), Misiah Anuar; Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yassir (Tokoh Keluarga Mithi), Ab Karim Daud; Anugerah Hisbah (Tokoh Agensi Penguatkuasaan), Datuk Mohd Shaiful Adli dan Anugerah Umar Bin Abdul Aziz (Tokoh Perkhidmatan Awam), Mohd Nasir Bakri.

Pada sambutan itu juga, Melaka buat julung kali memperkenalkan Anugerah Murabbi Nusantara yang diberikan kepada pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

149
Kongsi :
Previous post ‘MyMelaka News’ sumber informasi terkini peniaga
Next post Ahmad Abrar tokoh anak muda Islam Melaka
Ubah saiz-+=