Pasukan penyiasat JKKP mulakan siasatan segera tapak projek LRT 3

Masa Membaca:54 Saat

PUTRAJAYA 30 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan pasukan pegawai penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan serta JKKP Selangor memulakan siasatan segera insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

KSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan komprehensif itu melibatkan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.

Siasatan juga bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), menurut kenyataan itu.

Akta 514 memperuntukkan setiap majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja termasuk keselamatan orang awam yang berada di tempat kerja di bawah kawalannya.

KSM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap setiap insiden kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan.

Semalam, seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala empat lelaki dalam lingkungan umur 30-an cedera ringan selepas perancah besi itu runtuh di tapak pembinaan LRT3 di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

835
Kongsi :
Previous post ‘Risau pemain MUFC letih’
Next post NPGRP pastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap
Ubah saiz-+=