PAWE mantapkan daya warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 20 Okt. – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dilihat mampu melahirkan warga emas produktif menerusi penubuhan pusat terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar berkata, terdapat enam PAWE yang telah diwujudkan di negeri ini yang bergerak aktif dengan penyertaan warga emas dari setiap komuniti.

Katanya, pihaknya berjaya menyasarkan setiap Parlimen mempunyai sebuah pusat berkenaan, malah ia telah disertai lebih 1,000 ahli dengan pecahan kira-kira 200 hingga 300 penyertaan dari setiap cawangan pusat berkenaan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM33,000 bagi sebuah PAWE dalam memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti berfaedah serta menjamin kesihatan dan produktiviti mereka.

“Melalui inisiatif terbabit kita harap ramai warga emas akan sertai penubuhan ini di setiap kawasan Parlimen masing-masing dengan pendedahan pelbagai aktiviti, sekali gus mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Seramai 133,500 warga emas direkodkan di Melaka dengan jumlah sebanyak 13.9 peratus daripada populasi penduduk di negeri ini, semestinya mempunyai peranan sendiri bagi memastikan kesejahteraan unutuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, tengah hari tadi.

Turut hadir, Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik.

Dalam pada itu, pihaknya turut mencari kaedah lain bagi menjamin pasaran terhadap produk yang dikeluarkan pusat terbabit.

“Produk-produk yang dihasilkan termasuklah makanan mahupun barangan kraftangan perlu dipek dengan pembungkusan khas menggunakan jenama PAWE agar produk mereka mampu dipasarkan di negeri ini,”katanya.

Views:

1511
Kongsi :
Previous post Tiada larangan rentas negeri Melaka
Next post Pembangunan Merlimau sebagai bandar selamat menelan kos RM500,000
Ubah saiz-+=