Pembangunan Merlimau sebagai bandar selamat menelan kos RM500,000

MERLIMAU 20 Okt – Merlimau dijangka menjadi perintis bandar selamat di daerah Jasin dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang selamat.

Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, bagi mengekalkan keharmonian penduduk di kawasan itu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan pelbagai infrastuktur yang mampu menjamin keselamatan penduduk sekitar yang berjumlah hampir 30,000 orang.

Katanya, pembangunan bandar selamat itu sudah siap 80 peratus dan akan siap dalam masa terdekat mengikut perancangan awal.

“Ia insentif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk menjadikan kawasan ini sebagai bandar selamat.

“Meskipun ciri-ciri bandar selamat itu mengambil kira faktor indeks jenayah setempat namun MPJ mewujudkan kawasan siar kaki sejauh 700 meter bagi memastikan penduduk sekitar terutama pelajar menyusuri siar kaki ini untuk keselamatan.

“Ditambah dengan pencahayaan serta penggunaan cermin cembung mampu menjamin keselamatan orang ramai.

“Pembangunan itu tidak akan berakhir di sini, pada peringkat awal ia membabitkan kos hampir RM500,000 dan selepas ini kita akan mohon peruntukan tambahan sehingga ke tahap maksium sehingga projek bernilai RM5 juta, yang akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi 14 fasa pembangunan,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak ke Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam Merlimau dan Projek Bandar Selamat, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron.

Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, MPJ turut menaik taraf padang awam kepada dataran bagi merancakkan pembangunan di kawasan itu.

“Dataran itu akan menjadi tumpuan orang awam dengan pembangunan landskap termasuk taman bunga, kawasan joging, pentas utama dan taman permainan kanak-kanak.

“Setakat ini perkembangan pembangunan dataran itu sudah siap 25 peratus dan dijangka siap sepenuhnya berdasarkan jadual pada Januari tahun hadapan namun pihak kontraktor menjanjikan akan menyiapkannya pada Disember tahun ini,” katanya.

Views:

103
Previous post PAWE mantapkan daya warga emas
Next post Warga emas maut terkena renjatan