Paya Redan, jadi Kampung Pengembangan RISDA – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

TELOK MAS 22 September – Kampung Paya Redan, Ayer Molek diangkat sebagai Kampung Pengembangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi Negeri Melaka untuk tahun 2022.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kampung berkenaan turut menerima peruntukan berjumlah RM20,000 dalam bentuk peralatan berteknologi untuk aktiviti berkaitan program Risda, kemasyarakatan dan sosial.

Katanya, Kampung Pengembangan bertujuan menghasilkan model pembangunan setempat yang mempraktikkan amalan agronomi meliputi penggunaan teknologi terkini tanaman getah, mempertingkatkan inovasi dan program-program lain yang bersesuaian.

“Hasrat kita untuk mewujudkan sebuah pusat tumpuan (nukleus) kepada pihak kerajaan dan Risda dalam menyampaikan segala bentuk maklumat serta penyebaran ilmu kepada masyarakat pekebun kecil di samping membudayakan inovasi.

“Kampung ini mempunyai elemen yang diperlukan dalam amalan pertanian yang baik (GAP) bersesuaian untuk diperkasakan, sekali gus meningkatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan pengusaha getah serta usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Gap Peringkat RISDA Negeri Melaka Tahun 2022 di Kompleks Komuniti Desa Telok Mas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kampung Pengembangan turut menjalankan proses pendidikan secara tidak formal bagi menggalakkan pekebun kecil menerima dan mengamalkan teknologi berkaitan penanaman getah.

Katanya, menerusi program itu juga pekebun kecil yang terlibat akan menjadi model dan ikutan kepada pekebun kecil lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2029
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 20 peratus petani beralih ke pertanian moden
Next post Murid lelaki tahun satu cedera, lebam dipercayai didera bapa
Ubah saiz-+=