PBT disaran jalankan inisiatif baiki kediaman usang

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran melaksanakan inisiatif membantu membaiki kediaman usang atau rosak milik golongan kurang berkemampuan di kawasan pentadbiran masing-masing.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia bagi meringankan beban golongan itu selain menyediakan rumah lebih selesa serta berkualiti untuk didiami.

Katanya, kediaman berkenaan mengalami kerosakan akibat pelbagai faktor seperti usia yang sudah lama dan cuaca.

Rais berkata, menerusi Program Bandaraya Penyayang dijalankan sejak 20 tahun lalu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membaiki lebih 100 buah kediaman di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, setiap tahun MBMB menyasarkan dua kediaman dengan kos perbelanjaan bagi setiap unit dianggarkan sekitar RM15,000.

“Saya lihat inisiatif itu sangat bagus, proses membaiki kediaman dijalankan oleh kakitangan Jabatan Kejuruteraan MBMB yang dibantu pegawai dan anggota dari Markas Divisyen ke-3 Infantri, Kem Terendak.

“Program sama turut mendapat perhatian pihak swasta seperti Teladan Setia Sdn. Bhd. dan Parkland Group yang tampil membiayai kos selain menyediakan bahan binaan.

“Difahamkan kerja pembaikan rumah di semua DUN di bawah pentadbiran MBMB telah selesai dan diharapkan setiap PBT (di Melaka) akan mengambil inisiatif yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan program berkenaan di kediaman seorang daripada peneriman inisiatif berkenaan, Norazlin Baharom di Bertam Ulu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menjayakan program seumpama itu di semua PBT di Melaka, lebih banyak agensi termasuk pasukan keselamatan dan pihak swasta dialu-alukan untuk tampil bekerjasama.

“Saya harap kerjasama itu bukan sahaja daripada pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sebaliknya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain pemaju perumahan.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyumbang bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2885
Kongsi :
Previous post Gilap pelapis bola sepak Melaka
Next post UiTM didik masyarakat guna platform media dengan bijak
Ubah saiz-+=